Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Norway bukan hanya Haaland, England perlu waspada - Pedersen

Norway's Erling Haaland smiles during a news ahead of their quarterfinal World Cup soccer match against England Thursday, July 9, 2026, in Fort Lauderdale, Fla. (AP Photo/Marta Lavandier)
Haaland pada satu sidang media menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Norway dan England di Fort Lauderdale, Florida, 9 Julai 2026. (Foto AP)
Advertisement

MIAMI: Kemaraan Norway ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama mencetuskan gelombang kegembiraan di negara itu, namun, bekas pemain antarabangsa, Morten Gamst Pedersen menegaskan, kejayaan tersebut bukan hanya bergantung kepada ketajaman penyudah Erling Haaland.

Norway dijadual berdepan England di Miami pada Sabtu dalam perebutan tiket ke separuh akhir. 

Pencapaian kali ini mengatasi rekod mereka pada Piala Dunia 1998 apabila mara ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat kemenangan bersejarah ke atas Brazil sebelum tewas kepada Itali.

Tumpuan ramai tertumpu kepada Haaland yang meledak tujuh gol sepanjang kejohanan, namun, Pedersen menolak tanggapan bahawa skuad bimbingan Stale Solbakken terlalu bergantung kepada penyerang Manchester City itu.

“Anda mempunyai pemain bintang seperti Erling, Martin Odegaard, Jorgen Strand Larsen, Alexander Sorloth, Sander Berge dan Oscar Bobb. Mereka beraksi di Liga Perdana Inggeris serta liga-liga terbaik Eropah.

“Semua orang tahu Erling adalah nama terbesar, tetapi mereka sebenarnya memiliki sebuah kumpulan yang sangat baik. Suasananya seperti sekumpulan sahabat yang sedang bercuti bersama, bergembira dan benar-benar menikmati pengalaman ini,” katanya kepada Reuters.

Pedersen yang kini berusia 44 tahun berkata, kekuatan utama Norway terletak pada kestabilan skuad serta kualiti yang dimiliki di setiap posisi, termasuk pemain simpanan yang mampu mengubah corak permainan apabila diperlukan.

Bagaimanapun, beliau mengakui, England merupakan cabaran paling sukar yang bakal dihadapi Norway setakat ini.

Walaupun menyedari ancaman pemain seperti Harry Kane, Jude Bellingham dan kekuatan jentera serangan England secara keseluruhan, Pedersen berpendapat, tekanan sebenar lebih tertumpu kepada skuad kendalian Thomas Tuchel.

“Di Norway, semua orang sedang berada dalam suasana euforia. Kami seolah-olah sedang berjalan di atas air.

“Bagi England pula, mereka berdepan tekanan besar daripada media dan orang ramai,” katanya.

Bekas pemain Blackburn Rovers yang membuat 348 penampilan itu turut menegaskan, disiplin bertahan akan menjadi faktor sama penting dengan ketajaman Haaland jika Norway mahu meneruskan kemaraan sensasi mereka.

Beliau memuji semangat berpasukan yang dipamerkan sepanjang kejohanan, termasuk aksi cemerlang penjaga gol Orjan Nyland ketika membantu Norway menewaskan Brazil 2-1 pada pusingan 16 terbaik.

“Pasukan ini perlu berani. Mereka perlu bermain mengikut corak permainan sendiri dan bukan dibebani oleh besarnya acara yang dihadapi,” katanya.

Meskipun England yang memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak 1966 dianggap sebagai pilihan utama, Pedersen mengingatkan agar skuad The Three Lions tidak memandang rendah keupayaan Norway yang sedang berada pada tahap keyakinan tinggi.

“England sememangnya pilihan kerana status dan sejarah besar mereka dalam bola sepak.

“Tetapi pada masa yang sama, kami percaya kami boleh menewaskan sesiapa sahaja,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement