PUTRAJAYA: Forum Kebajikan Haiwan 2026 menjadi platform memperkukuh tadbir urus, perkongsian ilmu serta kerjasama strategik antara pelbagai pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara bagi meningkatkan standard kebajikan haiwan di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan forum selama dua hari yang bermula hari ini di sini, dianjurkan Bahagian Regulatori Veterinar dengan kerjasama strategik A World of Good Initiative Inc.
"Forum ini menghimpunkan wakil agensi kerajaan, institusi akademik dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran baharu serta pendekatan praktikal dalam mempertingkatkan kebajikan haiwan secara mampan.
"Antara topik utama dibincangkan ialah kepentingan tadbir urus kebajikan haiwan yang berkesan, pelaksanaan strategi kebajikan haiwan di rantau Asia Pasifik, konsep One Welfare, kesejahteraan komuniti, cabaran kebajikan haiwan ternakan, kebajikan unggas serta kebajikan dalam sektor akuakultur," menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan forum itu turut menampilkan barisan penceramah dari dalam dan luar negara termasuk pakar dari Australia, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), Persekutuan Dunia bagi Haiwan serta institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, forum berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Malaysia 2021–2030, yang dijangka dapat menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam aspek tadbir urus, pematuhan dan pelaksanaan kebajikan haiwan di negara ini melalui pendekatan sains, inovasi dan kerjasama strategik.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata kebajikan haiwan bukan lagi isu sampingan, sebaliknya komponen penting dalam pembangunan masyarakat moden yang berteraskan nilai ihsan, kemampanan dan tanggungjawab bersama.
Beliau berkata pelaksanaan amalan kebajikan haiwan yang baik mempunyai kaitan rapat dengan kesihatan awam, keselamatan dan keterjaminan makanan, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti selaras dengan pendekatan One Health dan One Welfare yang dipromosikan di peringkat antarabangsa.
"Selaras dengan piawaian WOAH, amalan kebajikan haiwan yang baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan haiwan malah menyumbang kepada sistem pengeluaran makanan yang lebih mampan, produktif dan berdaya tahan, terutama ketika Malaysia terus berdepan permintaan tinggi terhadap sumber protein berasaskan haiwan," katanya dalam kenyataan sama.
Ketua Pegawai Eksekutif A World of Good Initiative Inc. Dr Michelle Sinclair pula berkata usaha memperkukuh pelaksanaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 memerlukan pembuat dasar dan pihak berkepentingan sentiasa didedahkan kepada perkembangan terkini serta amalan terbaik di peringkat global, selain penyertaan pakar antarabangsa dalam forum itu dapat membantu pembangunan dasar berasaskan sains dan bukti.
-- BERNAMA