ISTANBUL: Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla akan memulakan pelayaran pada 24 April depan.

Perkara itu disahkan Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright menerusi taklimat ringkas kepada semua peserta terlibat di Istanbul pada petang Jumaat.

“Kita menerima banyak indikasi, pertamanya daripada aspek politik dan aspek teknikal kapal, bagi anda yang berkesempatan menaiki kapal pada sidang media hari ini, banyak perkara yang perlu disiapkan sebelum pelayaran dimulakan.

“Walaupun kita mempunyai tenaga kerja seramai 35 orang yang bekerja 24 jam untuk menyiapkan kapal-kapal ini, namun ia tetap tidak boleh memulakan pelayaran pada tarikh yang dijadualkan sebelum ini (21 April 2024),” katanya.

Selain itu, Wright berkata FFC juga menghantar wakil mereka bertemu dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memberi tekanan kepada kerajaan negara itu untuk memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

“Kami menjangkakan segala isu berkenaan teknikal dapat diselesaikan menjelang 22 dan 23 April ini supaya pelayaran dapat dimulakan pada 24 April ini.

“FFC sebelum ini juga sudah menghantar wakil kami bagi mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memastikan perancangan melibatkan pelayaran kesemua kapal dalam misi ini berjalan lancar,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan beberapa buah kapal terlibat dalam misi membabitkan sebuah kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan, dan beberapa kenderaan termasuk lapan buah ambulans.

Delegasi Malaysia juga dijadual menghadiri latihan tanpa kekerasan (non violence training) pada Sabtu ini.

Turut bersama-sama Malaysia menyertai sesi latihan berkenaan ialah beberapa delegasi antarabangsa lain antaranya dari Kanada, Algeria, Belanda, Jerman, New Zealand dan Scotland.