KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan seramai 6,000 Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan 18,000 Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) akan dilantik di seluruh negara menjelang 2030 bagi memperkukuh aspek keselamatan kebakaran di premis berisiko.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pelantikan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang mewajibkan premis tertentu menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran.
Menurut beliau, setakat ini seramai 498 individu telah ditauliahkan sebagai perintis program berkenaan, terdiri daripada 174 FSM dan 324 FSO.
“Hari ini kita menyerahkan sijil pelantikan kepada 174 Fire Safety Manager dan 324 Fire Safety Officer yang telah menjalani latihan, penilaian serta proses pentauliahan.
“Kita menjangkakan antara tahun 2026 hingga 2030 seramai 6,000 FSM dan 18,000 FSO akan dilantik di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran di Kuala Lumpur pada Selasa.
Jelasnya, mana-mana premis yang memerlukan Perakuan Bomba atau Fire Certificate diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang FSM dan tiga FSO sebagai sebahagian daripada organisasi keselamatan kebakaran premis masing-masing.
Bagi memastikan industri bersedia, JBPM menetapkan tempoh peralihan sebelum penguatkuasaan penuh bermula pada 1 April 2027.
“Mulai 1 April 2027, mana-mana bangunan yang diperiksa untuk tujuan pembaharuan Perakuan Bomba perlu mempunyai Fire Safety Manager, Fire Safety Officer dan organisasi keselamatan kebakaran yang lengkap.
“Secara keseluruhannya, industri mempunyai tempoh antara enam bulan hingga 18 bulan untuk membuat persediaan bergantung kepada tarikh pemeriksaan dan tamat tempoh Perakuan Bomba masing-masing,” katanya.
Menurut Nor Hisham, lebih 9,000 bangunan di seluruh negara dijangka tertakluk kepada syarat baharu itu, melibatkan premis yang dikategorikan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba termasuk bangunan berperenjis (sprinkler) seperti kompleks beli-belah, bangunan pejabat dan premis berskala besar.
Dalam pada itu, beliau berkata JBPM telah melaksanakan pelbagai program kesedaran dan latihan termasuk 14 siri seminar bersama HRD Corp yang melibatkan 9,674 peserta.
Selain itu, tujuh siri Hub Kemahiran Kebombaan turut dianjurkan dengan penyertaan hampir 9,600 individu yang dikenal pasti berpotensi untuk dilantik sebagai FSM dan FSO.
Bagi menyokong pelaksanaan program itu, JBPM kini mempunyai 13 penyedia latihan berdaftar dan sedang dalam proses menambah bilangan penyedia latihan serta tenaga pengajar bagi memenuhi permintaan industri.
Nor Hisham berkata, pelantikan FSM juga akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan tahunan oleh pihak bomba apabila laporan pematuhan keselamatan kebakaran boleh disediakan oleh pegawai yang bertauliah.
“Pada masa hadapan, laporan yang disediakan oleh Fire Safety Manager akan digunakan sebagai salah satu asas penilaian untuk pembaharuan Perakuan Bomba tanpa perlu pemeriksaan fizikal dilakukan setiap tahun.
“Pendekatan ini akan memastikan pemilik bangunan memainkan peranan lebih aktif dalam menjaga tahap keselamatan kebakaran premis masing-masing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat graduan dan individu yang belum bekerja dalam sektor pengurusan bangunan mengambil peluang mengikuti kursus berkenaan sebagai nilai tambah untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri.