Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) meminta Biro Ekonomi UMNO mempertimbang untuk mewujudkan Dasar Keusahawanan Negara demi kelangsungan ekonomi negara berkekalan.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia diharap usaha berterusan dalam memastikan kejayaan landasan misi dan visi dasar itu sama seperti Dasar Ekonomi Baru yang diwujud kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, kekuatan Biro Ekonomi UMNO dilihat dapat memberi pengaruh kepada kerajaan agar penggubalan dasar berkenaan dapat dibuat dalam tempoh yang singkat.

"Kita mahu Biro Ekonomi UMNO supaya melihat perkara ini sebagai perkara serius, dasar keusahawanan negara ini sebagai landasan yang memberi halatuju setiap apa yang terlibat mana dia dan mana berakhir. Kita tidak mahu apabila menteri bertukar, dasar ini sudah tidak dibuat lagi," katanya ketika ditemui di sini Jumaat.

Gabem diwujudkan pada 2006 oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk melibatkan badan-badan ekonomi dan para pemikir ekonomi Melayu ke arah memperkasa agenda-agenda berkaitan ekonomi Melayu dengan melibatkan rakyat seluruhnya.

Ujarnya, penggubalan dasar ini kelak dilihat tanda patriotik pemimpin negara dalam melihat perkembangan ekonomi negara.

Tambahnya, Gabem turut melihat beberapa isu ekonomi bumiputera sebagai punca dasar itu harus diwujudkan segera.

"Antaranya kekurangan premis perniagaan bumiputera, GLC yang meluaskan perniagaan di bidang yang boleh dilakukan usahawan dan kawasan perniagaan strategik yang dikuasai peniaga pendatang asing.

"Selain itu, kelemahan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan program pemerkasaan bumiputera dan bumiputera banyak hilang peluang dalam industri yang seharusnya dimonopoli bumiputera.

"Bumiputera juga dilihat kurang penglibatan dalam sektor profesional selain sikap usahawan bumiputera sendiri yang kurang daya tahan dalam perniagaan," jelasnya.

Jelasnya, penubuhan Gabem sehingga kini menjadi penyalur kepada suara-suara ekonomi orang Melayu kepada MT UMNO.

Kata Rahim lagi, dari segi perjuangan untuk menyampai hasrat dan cita-cita ekonomi orang Melayu pula, Gabem merupakan jambatan paling berkesan untuk merealisasikan setiap hasrat mereka.