Seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia selepas terjun dari sebuah apartmen di Jalan Ipoh, Sentul, ibu negara pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, pihaknya menerima panggilan pada 1.30 petang mengenai kejadian melibatkan lelaki berusia 42 tahun itu.

Pihak bomba tiba di kawasan berkenaan dan sempat melakukan proses memujuk lelaki itu.

Bagaimanapun proses itu gagal selepas dia nekad memusingkan badan dan terjun tanpa sempat diselamatkan.

Lelaki tersebut jatuh dalam keadaan tertiarap dan mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan lengan.

Dia disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang.

Siasatan awal mendapati seorang rakan sempat berhubung dengan lelaki itu melalui telefon sebelum insiden.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.