SEPANG: Seorang pengarah syarikat perniagaan perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan instrumentasi didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan syarikat bagi tahun taksiran 2021.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Shahrul Aimee Alias, 52, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan turut memerintahkan OKS dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Shahrul Aimee dikehendaki di bawah Seksyen 77(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2021 mengenai pendapatan syarikatnya kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagaimanapun dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun iaitu pada atau sebelum 31 Julai 2022 bagi tahun taksiran 2021, OKS gagal mengemukakan penyata tersebut tanpa sebab munasabah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa LHDN Mohammad Danial Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam selain bertujuan berlaku adil kepada pembayar cukai yang patuh.

Ahmad Shahrul Aimee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan ketika kejadian syarikatnya mengalami kerugian selain berdepan situasi pekerja berhenti kerja.

-- BERNAMA