KUALA LUMPUR: Kejayaan gagasan MADANI dalam membentuk bangsa Malaysia yang dihormati memerlukan usaha daripada semua pihak, kata Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.

Beliau berkata ia juga memerlukan dukungan warganegara yang mempunyai 'karamah insaniah' ke arah pembinaan tamadun.

"Kita kena faham, kerangka Malaysia MADANI ialah mengangkat perlembagaan dalam memastikan negara ini dibina berteraskan perlembagaan diikat dengan Rukun Negara yang melibatkan semua etnik dan wilayah yang dinamakan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Edisi Khas Sempena Satu Tahun Kerajaan MADANI di program Podcast J-KOM pada malam Jumaat.

Ismail berkata gagasan kerajaan MADANI merupakan sebahagian daripada proses membina negara bangsa Malaysia yang bermula sejak kemerdekaan sehingga kini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Ismail berkata acara besar-besaran Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan dianjurkan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8-10 Dis ini, bagi membolehkan rakyat melihat dan menilai sendiri apa yang mereka peroleh daripada kerajaan MADANI menerusi pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

-- BERNAMA