Skip to main content

Malaysia

"Gambaran mengenai Malaysia harus diubah dengan 'tidak terlalu Semenanjung' hingga pinggirkan Sabah, Sarawak"

PUTRAJAYA, 31 Ogos - Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang ketika kira detik detik Kemerdekaan pada RIUH Merdeka sempena Ambang Merdeka di Putrajaya malam ini bagi meraikan detik menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2026. Pelbagai aktiviti seni, budaya, muzik dan sajian tempatan disediakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Khoo Ying Hooi berpandangan, sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia mempunyai beberapa lapisan yang perlu difahami secara menyeluruh. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gambaran mengenai Malaysia tidak seharusnya terlalu berpusat pada Semenanjung sehingga Sabah dan Sarawak seolah-olah terpinggir daripada naratif negara.

Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Profesor Madya Khoo Ying Hooi berkata, sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia mempunyai beberapa lapisan yang perlu difahami secara menyeluruh.

“Saya rasa kita tidak harus sepatutnya melihat Malaysia sebagai terlalu Semenanjung sentrik. Itu adalah satu naratif yang kita harus ubah secepat mungkin. 

“Kalau kita lihat seluruh sejarah Malaysia ini hanya dengan seolah-olah ia bermula di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957 dan Sabah, Sarawak hanya muncul kemudian… tanpa kita sedari sebenarnya kita sudah mencipta satu pusat dan satu pinggiran,” katanya dalam rancangan Agenda AWANI pada Isnin.

Beliau berkata, kepelbagaian identiti kaum dan agama juga bukan masalah sekiranya ia tidak digunakan untuk mengecilkan identiti kelompok lain.

“Seseorang itu bagi saya boleh jadi sangat Melayu, sangat Cina, sangat Iban, sangat Kadazan atau sangat Muslim, Kristian dan sebagainya… tapi pada masa sama sangat Malaysia. 

"Jadi masalahnya bermula apabila identiti itu hanya boleh menjadi kuat dengan mengecilkan identiti orang lain,” jelasnya.

Pengarah Zubedy Malaysia Sdn. Bhd., Anas Zubedy pula berpendapat, usaha membentuk Malaysia pada 2057 perlu bermula dengan proses muhasabah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan negara ketika ini.

“Kalau lihat pada masa ini, kita sebenarnya tidak kekurangan nilai perpaduan. Kita ada kesepaduan atau dipanggil kohesi sosial. 

"Kita sebagai orang Malaysia sudah tahu caranya untuk hidup bersama dan mencari jalan supaya tidak melukai perasaan antara satu sama lain. Kita sebenarnya antara yang cemerlang di dunia, tetapi mungkin kita mesti bertambah baik lagi,” katanya.

Inisiatif #Malaysia100 merupakan gagasan yang diterajui Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama beberapa individu yang prihatin terhadap masa depan negara.

Dilancarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, inisiatif itu mengajak rakyat membayangkan Malaysia pada tahun 2057, ketika negara mencapai 100 tahun kemerdekaan, selain memperkasa segala kekurangan yang perlu direncana bermula hari ini.

Visi 2057 itu turut menekankan tanggungjawab bersama untuk mewariskan negara yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Must Watch Video

Advertisement