KUALA LUMPUR: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, telah mencapai 16 peratus sehingga 7 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan ia melibatkan 32 kawasan di Sepang, Hulu Langat (14) dan dua di Petaling.



"Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bekalan air bagi kawasan terjejas akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi, dijangka pulih sepenuhnya pada 2 petang esok, manakala kawasan terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih, dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi Selasa.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi, seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi semalam, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut.

-- BERNAMA