Beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air antara 27 hingga 30 Julai ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam satu kenyataan berkata gangguan pada 27 Julai mulai pukul 9 malam hingga 9 pagi keesokannya melibatkan kawasan di Klang berikutan kerja-kerja pengalihan paip bersaiz 600mm jenis 'mild steel'.

Antara kawasan yang terlibat adalah seluruh kawasan Pelabuhan Klang, flat Jalan Sultan Abdul Samad dan seluruh kawasan Pelabuhan Klang Utara.

Turut terlibat adalah seluruh kawasan Tanjung Harapan, seluruh kawasan Sultan Hishamudin, Kampung Sungai Sireh dan Flat Seri Perantau.

Gangguan bekalan air sementara pada 28 Julai mulai pukul 9 malam hingga 6 pagi keesokannya pula melibatkan kawasan Wilayah Petaling di seluruh Seksyen 20, Petaling Jaya; seluruh SS4, Petaling Jaya dan seluruh SS1, Petaling Jaya.

Turut terlibat ialah kawasan di Jalan 21/1 hingga Jalan 21/37, SS2 dan SS3/59 (A hingga E) serta SS3, Petaling Jaya.

"Gangguan air di Wilayah Petaling adalah disebabkan kerja-kerja penggantian injap 350mm dan kerja-kerja berkaitan berhampiran kolam air Seapark," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, gangguan bekalan air sementara pada 29 Julai mulai pukul 9 malam hingga 8 pagi keesokannya turut melibatkan kawasan Wilayah Petaling di Kampung Merbau Sempak, Shah Alam; Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh; Paya Jaras, Sungai Buloh; Sungai Plong; Penjara Sungai Buloh; Bandar Baru Sungai Buloh; dan Subang Hijauan U5, Shah Alam.

Gangguan air di kawasan tersebut adalah disebabkan kerja-kerja pemasangan 'Tee Off' dan 'In-Line Valve' pada empat unit paip sedia ada bersaiz 300mm diameter dan satu unit paip bersaiz 150mm diameter di Jalan Kuala Selangor (FT54), Paya Jaras.

Sehubungan itu, Syabas meminta pengguna di kawasan terlibat membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan itu.