KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mencapai tahap 88 peratus setakat jam 9 malam, pada Jumaat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, empat daripada lapan wilayah sudah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya.

Empat wilayah itu ialah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Syarikat itu berkata, empat lagi wilayah iaitu Petaling kini mencapai 99.5 peratus pulih, Gombak (92.5 peratus), Kuala Lumpur (75 peratus) dan Klang (52.5 peratus).

Gangguan bekalan air berjadual itu susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1),

Bagaimanapun Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com," katanya.