GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) melaksanakan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek yang berkaitan dengan insiden seorang pelajar perempuan menjadi mangsa gangguan seksual dan buli siber di sebuah sekolah menengah di negeri ini.
JPNPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga memberi kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan kes berkenaan yang kini dalam tindakan pihak polis.
"Tumpuan utama JPN Pulau Pinang pada ketika ini adalah untuk melindungi murid yang menjadi mangsa. Intervensi sokongan psikososial sedang dilaksanakan bagi membantu murid yang terjejas," menurut kenyataan itu.
JPNPP turut menegaskan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku seksual dan buli selain tindakan paling tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah.
Semalam, ibu seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tampil membuat rayuan selepas mendakwa anaknya menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lepas.
Wanita berusia 46 tahun itu mendakwa gambar serta wajah anaknya disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan sebelum disebarkan menerusi poster di kawasan sekolah, tempat awam dan media sosial.
Beliau berkata keluarganya telah membuat tiga laporan polis selain mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung akaun media sosial palsu yang menggunakan nama dan gambar anaknya yang juga merupakan model sambilan.
-- BERNAMA