KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa mengenakan syarat, langkah pembetulan atau jika perlu, menggantung atau membatalkan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk mencegah sebarang bantuan atau sokongan yang disengajakan kepada perbuatan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meena Raman berkata, kerajaan juga harus mewajibkan Lynas untuk membuktikan bahawa operasi, kontrak dan rantaian bekalannya tidak dan tidak akan, menyumbang kepada atau memudahkan perbuatan yang salah di sisi undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menyumbang kepada genosid, jenayah perang atau jenayah kemanusiaan.
Advertisement
Menurutnya, ini termasuk menuntut ketelusan penuh mengenai terma, skop dan tujuan penggunaan akhir perjanjian dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
“Selain itu, kerajaan perlu mewajibkan jaminan yang mengikat bahawa bahan-bahan yang ditapis di Malaysia tidak akan digunakan dalam sistem senjata yang dikerahkan dalam sebarang operasi di mana pelanggaran undang-undang berlaku.
“Syarat-syarat sedemikian harus dimasukkan sebagai prasyarat dalam lesen yang dikeluarkan kepada Lynas.
“Buat masa kini, lesen terbaharu yang diberikan kepada Lynas tidak mengandungi syarat tersebut dan harus dibetulkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Baru-baru ini, gabungan 57 organisasi menggesa kerajaan Malaysia memastikan operasi oleh Lynas Rare Earths Ltd tidak melanggar undang-undang antarabangsa, susulan perjanjian syarikat itu untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, gabungan itu berkata perjanjian bernilai kira-kira AS$96 juta dalam tempoh empat tahun menghubungkan aktiviti pemprosesan di Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan luar negara.
Pada Selasa, Ahli Majlis Politik Negeri Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Kedah, Mohamad Aiman Lutfi Mohamad Taufik menggesa kerajaan menarik balik lesen Lynas yang mengeluarkan bahan nadir sekiranya terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Amerika Syarikat (AS) menggunakan bahan nadir bumi (REE) Lynas untuk kegunaan perang menentang Palestin.
Tegasnya, Malaysia diibaratkan sebagai tulang belakang kepada AS dengan memberikan tempat untuk memproses dan membekalkan REE kepada mereka.
Lynas, penapis nadir bumi terbesar di luar China, telah menandatangani surat niat mengikat dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bagi memuktamadkan perjanjian pembekalan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan negara itu selama empat tahun, dengan pangkalan industri pertahanan AS akan terus mempunyai akses kepada oksida nadir bumi ringan dan berat yang penting untuk pembuatan moden.
Di bawah aturan ini, Jabatan Pertahanan akan memperuntukkan kira-kira AS$96 juta (RM377.62 juta) untuk membeli oksida nadir bumi daripada Lynas.