KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Ong Kian Ming menggesa Pangkalan Data Utama (PADU) digantung sementara sehingga kelemahan keselamatan sistem itu dibaiki.

Dalam satu kenyataan, Kian Ming berkata, beliau mengesan dan menerima maklum balas daripada orang
ramai berhubung kelemahan dan keselamatan sistem PADU.

"Pertama, mereka yang sedang menerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (STR) tetapi tidak layak kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan tanah milik mereka tidak akan mengisi maklumat yang tepat di PADU.


"Kedua, sesetengah pengguna termasuk saya sendiri tertanya-tanya mengapa begitu banyak ruangan tidak diisi memandangkan PADU sepatutnya mempunyai data yang disatukan daripada beberapa Kementerian dan Agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)," kata beliau.

Mengulas lanjut, Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi turut mempersoalkan jawapan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di laman sosial X mengenai maklumat daripada agensi-agensi tersebut tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan terhadap kemungkinan data PADU digodam.

"Jika beberapa maklumat ini sudah tersedia melalui kementerian dan agensi kerajaan, mengapa PADU memerlukan pengguna untuk mengisi maklumat ini? Bagaimana jika maklumat yang dibekalkan tidak sama seperti yang terdapat dalam pangkalan data PADU?

"Bagaimanakah PADU mengesahkan maklumat lain yang dibekalkan oleh pengguna seperti pendapatan sewa daripada tanah atau harta benda? Dengan begitu banyak medan tambahan untuk diisi, ramai pengguna akan memilih pilihan untuk tidak mengisi ruangan ini atau mengisinya dengan maklumat yang
tidak tepat supaya mereka kekal layak menerima subsidi kerajaan," ujarnya.

Kian Ming berkata, isu ketiga melibatkan keselamatan utama dengan pendaftaran PADU.

"Jika anda mempunyai nombor kad pengenalan dan poskod yang dikaitkan dengan kad pengenalan pengguna, anda boleh mendaftar untuk akaun PADU bagi orang itu tanpa perlu melalui proses proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

"Saya melakukan ini dengan alamat kad pengenalan dan poskod empat rakan DAP saya yang merupakan menteri atau timbalan menteri iaitu (Hannah) Yeoh Tseow Suan, (Steven) Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching.

"Saya juga dapat menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Hannah tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC," katanya.

Justeru, Kian Meng menggesa Kabinet membuat keputusan kolektif untuk menggantung pendaftaran PADU sehingga isu keselamatan dapat diselesaikan.

Tegas beliau, sistem PADU sepatutnya diuji dengan betul sebelum ia dilancarkan semula.

"Pengguna yang telah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC hendaklah diminta untuk mendaftar semula selepas isu keselamatan telah diselesaikan.

"Bilangan medan maklumat harus dikurangkan dan setelah ciri-ciri keselamatan disediakan, maklumat yang boleh diambil daripada agensi dan kementerian lain hendaklah diisi terlebih dahulu sebanyak mungkin," kata beliau lagi.

Dalam masa sama, Kian Ming turut berharap supaya PADU menyediakan kaedah untuk pengguna mempunyai mekanisme untuk membuat laporan jika maklumat diberikan tidak tepat.

"Pakar IT (teknologi maklumat) dan keselamatan siber perlu dipanggil untuk menyediakan input nilai tambah yang boleh digunakan untuk menambah baik reka bentuk sistem PADU.

"Saya berharap bahawa bekas rakan sekerja saya dalam Kabinet tidak akan melihat ini sebagai satu langkah untuk menjejaskan objektif pentadbiran mereka.

"Dalam mengetengahkan kepincangan dalam sistem PADU ini, saya berharap ia dapat diperbetulkan dengan cepat sebelum sidang parlimen akan datang supaya parti pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) tidak berpeluang menjadikan perkara ini sebagai bahan perdebatan politik," tegas Kian Ming lagi.