PETALING JAYA: Gara-gara tersiku ketika berjalan dipercayai punca tercetusnya pergaduhan antara dua lelaki yang berakhir dengan kematian di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata mangsa warga tempatan berusia 40-an maut selepas dikatakan ditumbuk seorang lelaki warga asing.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 1 pagi selepas suspek,40-an, tersiku mangsa ketika berjalan dalam pusat hiburan berkenaan sehingga berlaku pergaduhan akibat campur tangan rakan mangsa.

"Suspek didakwa telah menumbuk muka mangsa menyebabkan mangsa jatuh dan belakang kepalanya pecah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Shahrulnizam berkata suspek kini direman hingga 29 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Turut ditahan ialah rakan mangsa bagi membantu siasatan.

Pada perkembangan lain, Shahrulnizam berkata polis berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita di sekitar Kelana Jaya kerana dipercayai terlibat jenayah ragut dan pecah kereta.

Beliau berkata tangkapan pada 6 pagi 17 Mac lepas melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga asing yang disyaki dalang di sebalik enam kejadian ragut sekitar Kelana Jaya.

Semua suspek direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Shahrulnizam berkata pihaknya juga berjaya menyelesaikan enam kes pecah kereta dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 20-an di sebuah rumah di Taman Putra Damai, Kelana Jaya pada 12.49 tengah hari 22 Mac lepas.

Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah narkotik direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawan Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA