MALAYSIA Baharu bermula pada 9 Mei apabila lebih 12 juta atau 82.32 peratus pengundi berdaftar tunai tanggungjawab bagi memilih siapa bakal jadi pemimpin mereka.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya yang mula keluar seawal 7 malam terhenti setakat jam 8 malam.

Ia berlanjutan sehingga 10 Mei apabila kelewatan umum keputusan menyebabkan rakyat resah sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat satu sidang media sekitar jam 12 malam bagi menjelaskan keadaan.

Pakatan Harapan (PH) akhirnya diumum sebagai pemenang PRU14 dengan memenangi 113 kerusi Parlimen.


Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 di hadapan Yang Dipertuan Agong, Sultan Mohamad V pada jam 9.56 malam.

Pada 11 Mei, bagi memulakan operasi kerajaan dalam kerangka baharu sepenuhnya, Dr Mahathir mengumumkan pembentukan 10 kementerian utama.

Pada 16 Mei, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Muhammad V.

Dr Mahathir menjadikan Jepun sebagai destinasi lawatannya yang pertama pada 12 Jun.

Dalam lawatannya itu, Dr Mahathir menyuarakan hasrat Malaysia untuk menstrukturkan semula hutang dan meminta negara matahari terbit itu menyediakan kredit Yen dengan nilai faedah yang lebih rendah.

Antara janji PH sekiranya memerintah adalah untuk meminda dan memansuhkan mana-mana akta yang dianggap lapuk serta tidak relevan dalam era Malaysia baharu.

Jadi pada 16 Ogos, antara yang paling awal dimansuhkan adalah Akta Antiberita Tidak Benar 2018.