Garis Panduan Khas 2025: Perkukuh perlindungan kanak-kanak dalam sistem keadilan - Azalina

Azalina berkata, garis panduan itu dibangunkan hasil sesi libat urus dan siri bengkel yang dijalankan dari Januari hingga Ogos lalu. - Gambar/ Ikqwan Lee/ Astro AWANI
PUTRAJAYA : Sebanyak empat komponen utama menjadi fokus dalam Garis Panduan Khas 2025 yang diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, garis panduan itu dibangunkan hasil sesi libat urus dan siri bengkel yang dijalankan dari Januari hingga Ogos lalu.
Menurutnya, empat komponen utama yang digariskan meliputi pelaporan dan siasatan awal yang beretika bagi meminimumkan trauma terhadap mangsa; pelaksanaan prosedur mahkamah mesra kanak-kanak termasuk penggunaan rakaman video serta pautan langsung (live-link); pelantikan penyokong saksi atau pendamping guaman bagi membantu mangsa sepanjang proses perundangan; dan sokongan psikososial serta pemulihan pasca perbicaraan yang berterusan.
“Selain itu, garis panduan ini turut menekankan keperluan latihan berkala kepada semua pihak berkaitan seperti pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim, pegawai kebajikan dan profesional kesihatan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan semangat perlindungan kanak-kanak.
“Walaupun belum mengikat secara undang-undang, garis panduan ini menjadi asas penting untuk penyelarasan amalan terbaik di seluruh agensi serta membuka ruang kepada pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025 di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, agensi kerajaan, masyarakat sivil dan pakar undang-undang yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Sementara itu, beliau berkata Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] yang mula dikuatkuasakan pada Mac lalu turut memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.
Melalui pindaan berkenaan, katanya, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif serta tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


