KUALA LUMPUR: Indahnya kraf rotan untuk hiasan dalaman sememangnya tidak boleh disangkal lagi, akan tetapi bagaimana pula jika ianya diolah dalam bentuk busana?
Mungkin ada yang sukar untuk menggambarkannya, apatah lagi dengan sifat sumber alam itu yang mempunyai tekstur yang agak keras dan lazimnya diketengahkan dalam pembuatan perabot.
Namun, kejutan itulah yang dibawa oleh juara Anugerah Juara Lagu ke-37, Aina Abdul semasa beraksi di pentas Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2024 baru-baru ini apabila tampil dengan gaun kembang berasaskan rotan!
Mengekalkan warna asal bahan semula jadi itu serta sulaman berwarna merah jambu, busana yang terletak cantik pada penyanyi kelahiran Johor Bahru itu adalah hasil rekaan istimewa pereka fesyen berpengalaman, Melinda Looi dengan kerjasama artisan rotan daripada etnik Penan kampung Sungai Tutoh di Baram, Sarawak.
Melinda yang telah berkecimpung dalam dunia fesyen tempatan selama 20 tahun berkata, busana berkenaan yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan adalah tanda penghargaan kepada pembuat dan pekerja mahir kraf.
"Konsepnya lebih kepada karya seni berbanding pakaian atau gaun. Saya hasilkan ini sebagai inspirasi seni dan bukan untuk pemakaian komersial.
"Diharapkan karya yang dihasilkan ini mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan mengekalkan kraf warisan Malaysia terutama pembuat kraf dan perniagaan tempatan bagi memastikan kraf dihasilkan berkekalan buat tempoh yang lebih lama," katanya kepada Bernama.
Pereka fesyen yang pernah mewakili Malaysia di World Fashion Awards dan World Fashion Week di Paris pada tahun 2014 berkata, minat terhadap tekstil ikat yang dihasilkan oleh masyarakat Iban juga antara sebab yang mendorong beliau menghasilkan karya berkenaan.
Looi mengambil masa lebih lapan bulan untuk menyiapkan gaun kembang berasas rotan yang mendapat sentuhan pembuat kraf daripada etnik Penan di pedalaman Sarawak.
"Lapan bulan untuk proses anyaman rotan sahaja, sebulan lagi perincian. Paling rumit dan lama adalah proses penghasilan rotan itu sendiri kerana ia perlu diraut licin, kemudian rotan dijahit menggunakan tangan untuk menghasilkan reka bentuk pakaian itu.
"Rotan bukanlah bahan yang mudah untuk dijadikan pakaian dan ia tidak begitu fleksibel untuk digerakkan. Ianya 100 peratus dijahit dengan tangan dan seakan ditenun, " jelasnya.
Menurut Looi, beliau juga bekerjasama dengan beberapa pihak iaitu Yayasan Tun Jugah untuk aspek reka corak, Tanoti Crafts untuk penganyaman rotan dan Jaw Textile and Printing untuk cetakan tekstil digital.
Gaun itu menggunakan rotan anyaman tangan dan hasil tuaian Erang Ipoi, Serina Melai dan Supang Sigak serta corak tambahan dihasilkan oleh Mandona Jusely, manakala sulaman oleh Maya Luebbert.
Tambahnya, bahagian anyaman arca berbentuk seperti kelopak bunga di atas bahu pula dihasilkan oleh kaum wanita yang tinggal di rumah panjang Iban di wilayah Ulu Ai, dan kawasan itu perlu diakses dengan menaiki bot selama dua jam dari empangan Batang Ai di Lubok Antu.
Berkongsi tentang kerjasamanya dengan Aina yang sering tampil berani dengan fesyen unik di pentas, Looi berkata, beliau selesa menghasilkan pakaian untuk penyanyi itu yang turut menghargai hasil serta nilai seni yang dihasilkan.
Ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, beliau perlu 'jatuh cinta' dengan konsep pakaian yang ingin dihasilkan sebelum berkarya manakala dari segi kos pula, ia harus setimpal dengan usaha yang diletakkan dalam penghasilan sesuatu busana itu.
"Saya tak mengenakan harga yang menggila tinggi, tetapi saya perlu mampu membayar semua yang terbabit dalam menghasilkan busana itu. Jadi apa yang saya lakukan hanya mengambil harga kos untuk membayar upah mereka, Saya tak buat untung atas keringat artis kerana saya sendiri seorang artis yang memerlukan sokongan.
"Kami suka apa yang kami lakukan dan saya menghargai apa yang Aina Abdul lakukan. Dia memberikan sepenuhnya apa yang seorang artis perlu lakukan, bukan sahaja vokal tetapi aspek lain untuk menjayakan persembahan termasuk peminat.
"Saya memang suka menghasilkan busana.. impian saya adalah untuk mempunyai syarikat produksi filem seperti Hollywood... dengan pelbagai kisah untuk dikongsi dan watak yang dhasilkan menerusi kostum. Impian saya masih membara. Saya akan lakukan yang terbaik," katanya yang turut berhasrat mengembangkan karyanya dalam penghasilan kostum ke peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jun 13 2024
Looi mengambil masa lebih lapan bulan untuk menyiapkan gaun kembang berasas rotan Aina (gambar) yang mendapat sentuhan pembuat kraf daripada etnik Penan di pedalaman Sarawak. - Foto Instagram Aina Abdul
Batu Puteh: Dr Mahathir balas kenyataan tiga bekas menteri Kabinet
Dr Mahathir turut membangkitkan persoalan sama ada perlu beliau meminta anggota Kabinet ketika itu untuk menyatakan pendapat mereka.
Pantau Agenda Reformasi: Tangani kenaikan harga premium insurans, takaful kesihatan
Ikuti kupasan Provost, Malaysia University of Science & Technology (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai mengenai enam syor Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan tangani kenaikan harga premium insurans & takaful.
Pelabur harus memiliki mata wang Bitcoin - Thomas Peterffy
Pengasas syarikat broker runcit Interactive Brokers Group, Thomas Peterffy menyarankan pelabur untuk memiliki sedikit mata wang kripto, Bitcoin.
Pengeluaran getah asli Malaysia catat peningkatan 20.6 peratus
Pengeluaran getah asli Malaysia catat peningkatan 20.6 peratus pada Oktober 2024 dengan 38,400 tan berbanding 31,847 tan pada September 2024.
Korean Air selesai pembelian jangka panjang Asiana Airlines
Syarikat penerbangan Korean Air menyelesaikan pembelian jangka panjang terhadap pesaingnya, Asiana Airlines yang kini dalam krisis hutang.
Jumlah import eksport barangan China naik 4.9 peratus 11 bulan pertama
Jumlah import dan eksport barangan China mencapai RMB39.79 trilion (RM24.3 trilion) dalam 11 bulan pertama tahun ini, naik 4.9 peratus tahun ke tahun.
4.1 juta pencarum miliki amaun permulaan, RM 14.5 bilion dipindah
Seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun memilih mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM14.5 bilion
Nilai ringgit dijangka terus kukuh menjelang akhir 2025
Nilai ringgit dijangka terus kukuh menjelang akhir 2025
MIC cadang mekanisme khusus kawal kos rawatan hospital swasta
MIC mencadangkan supaya kerajaan dapat mewujudkan mekanisme khusus yang dapat mengawal kos rawatan di hospital swasta.
Pindaan Akta 655 perkenal hukuman berat, kesalahan baharu
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bentangkan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dengan memperkenalkan hukuman lebih berat dan kesalahan baharu.
Gaun rotan Aina Abdul, penghargaan Melinda Looi untuk pengusaha kraf Malaysia
Aina beraksi di pentas Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2024 baru-baru ini dengan mengenakan gaun kembang berasaskan rotan hasil rekaan Looi.