ISTANBUL: Setiap peserta yang terlibat dalam misi pelayaran Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla akan diwakili peguam yang dilantik Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Dr Fauziah Hasan, ia sebagai persediaan bagi membantu setiap peserta sekiranya mereka ditahan tentera rejim dan dipenjarakan.

“FFC telah membuat persiapan dan setiap peserta terlibat akan diwakili peguam yang dikhaskan untuk semua yang terlibat dalam misi ini.

“Mereka (peguam yang dilantik) akan membantu membela setiap peserta sekiranya berdepan kemungkinan ditahan dan disoal siasat oleh pihak rejim Israel.

“Untuk itu, peguam-peguam inilah yang akan bercakap bagi pihak peserta sekiranya berlaku sesi soal siasat ketika ditahan,” katanya.

FFC sebelum ini mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla dijangka akan memulakan pelayaran pada Rabu, 24 April 2024.

Penangguhan pelayaran yang sepatutnya dijadualkan pada 21 April (Ahad) adalah disebabkan beberapa masalah teknikal yang masih dihadapi ketiga-tiga kapal terlibat.

Misi ini melibatkan sebuah kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan buah ambulans.