TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah adalah anakanda kedua dan putera sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Tengku Hassanal diputerakan pada 17 Sept 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang. 

Putera diraja ini memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Sherburne, United Kingdom pada 2002 hingga 2007 sebelum melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah St Thomas pada 2008 hingga 2012 dan University of Nottingham selepas itu.

Beliau melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selama setahun. 



Mei tahun 2018, beliau tamat pengajian dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dengan ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

Mengikut susur galur keluarga, Tengku Hassanal merupakan cucunda kepada bekas Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar di sebelah bondanya, Tunku Azizah.

Ini menjadikannya anakanda saudara kepada Sultan Johor kini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan sepupu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Selain Tengku Hassanal, Seri Paduka juga mempunyai lapan orang lagi anakanda.

Empat puteri Seri Paduka iaitu Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Ilisha Ameera, Tengku Ilyana dan Tengku Puteri Jihan.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri juga mempunyai sepasang anak kembar iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 




Seorang lagi puteri, ialah Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.

Beliau merupakan puteri bongsu kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri.

Selain itu, dua lagi putera iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim dan Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah. - Gempak