PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menubuhkan satu Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik, Syria bagi mendapatkan gambaran sebenar serta membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan di negara yang turut dilanda bencana gempa bumi itu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Selasa berkata pasukan itu akan membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria dalam menilai laluan yang selamat untuk misi penghantaran bantuan kemanusiaan.

"Pasukan Peninjau ini diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri dan disertai wakil dari NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga wakil Persatuan Bulan Sabit Merah serta MERCY Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penubuhan pasukan itu adalah susulan daripada perbincangan yang diadakan antara Sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian Kementerian Luar bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Antara keperluan asas yang kritikal dan amat diperlukan oleh mangsa gempa bumi di Syria adalah bekalan makanan (pek makanan sedia dimakan, pek makanan ringan, susu formula), bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk kit bantuan kecemasan.

Pada 6 Feb lepas, dua gempa bumi kuat melanda bahagian selatan dan tenggara Turkiye serta bahagian barat laut Syria yang mencatatkan jumlah korban di dua negara terbabit melebihi 35,000 orang dengan puluhan ribu lagi cedera.

Gempa bumi pertama berukuran 7.8 pada skala Richter itu melanda pada 4:17 pagi (01:17 GMT) dan berpusat di daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan kurang daripada 12 jam kemudian, gegaran magnitud 7.6 itu pula melanda kawasan yang sama.

Mengambil kira kemungkinan berlaku gegaran susulan, rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan dinasihatkan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria boleh berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diselia oleh pihak kementerian.

Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut: Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri; Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya; Nombor Akaun : 1054 9000 0599.

Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, penderma diminta menyatakan butiran sumbangan melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN di email: [email protected].

-- BERNAMA