ISTANBUL: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua yang dihantar ke Turkiye semalam, selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul di sini pada 11 pagi ini (6 pagi waktu tempatan).

Ketibaan pasukan penyelamat kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.

Pasukan yang merangkumi 72 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu berlepas ke Turkiye tengah malam tadi (waktu Malaysia) menaiki penerbangan Turkish Airline untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Pasukan berkenaan kemudian dijadual akan menaiki penerbangan kedua ke Gaziantep yang terletak 1,136 kilometer dari Istanbul.

Pada 6 Feb lepas, Malaysia menghantar pasukan pertama SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta Unit K9 JBPM dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) bagi membantu misi SAR gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti. 

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 orang setakat ini.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.- Bernama