MALAYSIA
Gempa bumi: Segamat, Batu Pahat perlu dimasukkan dalam peta zon bencana - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan (tengah) menunjukkan kesan retakan akibat gempa kecil yang berlaku di Segamat baru-baru ini ketika melakukan lawatan ke tapak Kuarters Polis Daerah Segamat, hari ini. - Foto Bernama
SEGAMAT: Kerajaan pusat mengesyorkan agar daerah Segamat dan Batu Pahat dimasukkan ke dalam Peta Zon Bencana Seismik Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan dan reka bentuk bangunan di kawasan berkenaan mengambil kira faktor seismik pada masa depan.
Ringkasan AI
- Kerajaan pusat syor Segamat dan Batu Pahat dimasukkan dalam Peta Zon Bencana Seismik Malaysia bagi memastikan reka bentuk bangunan masa depan mengambil kira faktor gegaran bumi.
- Pengemaskinian peta zon bencana akan membolehkan projek pembangunan menggunakan konkrit berkualiti tinggi dan reka bentuk tahan gempa mengikut standard MS EN 1998 National Annex.
- Cadangan pemasangan seismometer di kawasan berisiko turut dikemukakan untuk memberi amaran awal, selain meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap risiko gegaran bumi.
"Berdasarkan hazard map sedia ada, Segamat tidak termasuk dalam kawasan bencana. Oleh itu, reka bentuk bangunan di sini tidak diwajibkan mengikut standard seismik lebih tinggi. Namun, insiden gegaran ini menunjukkan keperluan untuk mengemas kini hazard map dengan memasukkan Segamat dan Batu Pahat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat gempa bumi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat dan melawat kesan bencana di beberapa bangunan kerajaan di sini hari ini.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menghasilkan Peta Zon Bencana Seismik Malaysia sebagai rujukan bagi tujuan pengurusan geobencana yang memberikan gambaran tahap gegaran seismik berpotensi dialami di Malaysia, berdasarkan zon dengan skala berbeza.
Maklumat ini penting dalam usaha menyokong perancangan pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko bencana, serta memperkukuh kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam menghadapi kemungkinan insiden gegaran bumi.
Ahmad turut mencadangkan agar seismometer dipasang di kawasan berisiko untuk memberi amaran awal sekiranya gegaran berlaku pada skala tertentu.
"Ini penting supaya rakyat lebih bersedia. Kita mahu setiap bangunan kerajaan dan infrastruktur awam yang dibina kelak benar-benar tahan dan selamat digunakan," katanya.
Setakat ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara termasuk enam di Johor iaitu dua di Johor Bahru, manakala masing-masing satu di Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.
Terdahulu beliau berkata 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan kos pembaikan dianggarkan RM550,000, selain 62 rumah persendirian dan dua surau turut terjejas.
Johor dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya lapan gegaran bagi tempoh 24 Ogos hingga 3 Sept lepas, termasuk enam kali di Segamat dan dua di Batu Pahat.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami