ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 33,000 orang pada Ahad.

Memetik laporan AFP, 29,605 orang meninggal dunia di Turkiye dan 3,574 di Syria, menjadikan jumlah yang disahkan kepada 33,179.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa jumlah keseluruhan mangsa yang maut mungkin berganda, apabila lebih banyak mangsa ditemui pasukan penyelamat.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sebelum ini dilapor menyifatkan kejadian gempa kali ini sebagai bencana terburuk dalam dekad ini.

Ia melepasi angka kematian gempa di Fukushima, Jepun pada tahun 2011 dan di utara Turkiye pada 1999.

Misi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan dipergiatkan di wilayah terjejas dan lebih 166,000 anggota terlibat.

SEMUA MAKLUMAT BERHUBUNG GEMPA TURKIYE-SYRIA DI SINI

Gempa Bumi | Gegaran awal berlaku dua hari sebelum kejadian

Turkiye turut mengisytihar berkabung selama tujuh hari sehingga Isnin berikutan kejadian gempa bumi dahsyat itu.

Sehingga kini, lebih 13.5 juta mangsa terkesan dengan kejadian gempa bumi yang berlaku pada Isnin lepas itu.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turkiye merekodkan sebanyak 1,891 gempa susulan sejak gempa pertama berlaku pada Isnin.