KUALA LUMPUR: Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan melaksanakan pemantauan lapangan berterusan sebagai langkah berjaga-jaga susulan gempa bumi yang berlaku di perairan Sabah pada awal pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata rondaan turut dijalankan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah selain pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan, Kudat serta lokasi sekitar bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.
Advertisement
Beliau berkata penduduk di kawasan berhampiran diminta agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.
“Dapatkan maklumat sahih daripada Portal Bencana atau media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain yang berkaitan.
“Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Sabah sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah. Semoga Allah SWT memelihara kita semua, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata MetMalaysia juga akan memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
-- BERNAMA