Skip to main content

Malaysia

Gen Z perlu pimpin perubahan, tolak politik perkauman dan rasuah - PM Anwar

ANWAR MAJLIS AMK
Anwar berkata cabaran utama negara bukanlah perbezaan kaum, sebaliknya keperluan melahirkan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berkebolehan mentadbir negara. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), supaya menjadi peneraju perubahan negara dengan menolak politik berasaskan perkauman dan kebencian, sebaliknya memperjuangkan tadbir urus yang baik, integriti serta agenda reformasi.

Perdana Menteri berkata politik lama yang bersandarkan kepada ketakutan dan sentimen kaum perlu ditamatkan kerana ia hanya memecahbelahkan rakyat.

"Saya percaya kalau Gen Z membawa mesej ini, mereka akan membawa perubahan. Politik fikiran lama yang berasaskan ketakutan dan kaum mesti berakhir.

"Kita jangan tanamkan rasa takut antara Melayu, Cina, India atau masyarakat Dayak. Sebaliknya, kita perlu tanamkan semangat untuk melawan rasuah dan perkauman," katanya ketika berucap pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Dewan Sivil, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata cabaran utama negara bukanlah perbezaan kaum, sebaliknya keperluan melahirkan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berkebolehan mentadbir negara.

Beliau turut mengingatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan pihak yang menggunakan isu perkauman bagi menutup kelemahan dan salah laku, termasuk rasuah.

"Masalah negara bukan Melayu, bukan Cina atau India. Masalahnya ialah bagaimana kita mendapatkan tadbir urus yang baik. Kita perlukan pemimpin yang tidak rasuah, tidak rasis dan tidak membenci antara satu sama lain.

"Pilih pemimpin Melayu yang baik dan kompeten, pilih pemimpin Cina yang baik dan mampu mentadbir, pilih pemimpin India yang baik. Mereka yang baik ini mesti bersatu demi menyelamatkan Malaysia," katanya.

Anwar menambah, orang Melayu tidak akan terbela sekiranya kuasa diserahkan kepada pemimpin yang rasuah, dan semua kaum akan menikmati masa depan yang lebih baik sekiranya negara dipimpin berteraskan keadilan serta reformasi.

Beliau turut menggesa golongan muda untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dan tidak meninggalkan Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai pembaharuan tanpa mengira kaum, termasuk membantu sekolah daif berdasarkan keperluan serta menyelesaikan beberapa isu pendidikan yang tertangguh sejak sekian lama.

Must Watch Video

Advertisement