MALAYSIA
Gencatan senjata agenda utama pertemuan pemimpin Thailand-Kemboja di Putrajaya

Konflik yang tercetus pada 25 Julai lepas berhampiran sempadan utara Kemboja telah meragut lebih 20 nyawa di pihak Thailand. - Gambar Reuters
PUTRAJAYA: Pemimpin dari Thailand dan Kemboja dijangka bertemu di sini pada 3 petang hari ini, bagi rundingan peringkat tinggi berhubung ketegangan ketenteraan di sempadan kedua-dua negara itu.
Konflik yang tercetus pada 25 Julai lepas berhampiran sempadan utara Kemboja telah meragut lebih 20 nyawa di pihak Thailand.
Pihak berkuasa Kemboja melaporkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh manakala ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa dipindahkan.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu mula memuncak sejak insiden berbalas tembakan pada 28 Mei berhampiran zon sempadan pertikaian Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.Kawasan sepanjang 817 kilometer (km) yang belum ditandakan secara rasmi antara kedua-dua negara itu telah lama menjadi titik kepada pertikaian ketenteraan dan diplomatik.
Kerajaan Thailand pada Ahad mengesahkan penyertaannya dalam rundingan serantau yang dianjurkan Malaysia, dengan harapan perbincangan itu membuka jalan kepada keputusan berasaskan maklumat serta membantu memulihkan ketegangan.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, pertemuan itu akan menjadi platform untuk meneliti cadangan damai yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan, setelah mengadakan perbincangan secara berasingan dengan pemimpin Thailand dan Kemboja sepanjang minggu lepas.
Anwar berkata, pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta wakil dari China telah menggesa kedua-dua pihak agar mencari jalan penyelesaian secara aman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami