MALAYSIA
Generasi muda perlu semai nilai kerjasama dan hormat dalam era digital - Mohamad Fauzi

Mohamad Fauzi ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-10 Pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat, Media dan Latihan (10th ASEAN SOMRI WG-IMT), pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memupuk nilai kerjasama, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan generasi muda bagi memperkukuh perpaduan serta ketahanan serantau dalam menghadapi era digital.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, nilai bersama itu amat penting bagi memastikan ASEAN terus maju dan kukuh ketika rantau ini berdepan masa depan yang semakin terhubung serta dipacu oleh teknologi digital.
"Sering kita dengar bahawa tradisi bukan sekadar diwarisi, tetapi dihidupkan. Begitu juga dengan usaha kita dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) dan Kumpulan Kerja ini -- ia bukan semata-mata tentang dasar atau projek, tetapi kesinambungan hubungan yang hidup antara rakyat kita.
"Seperti mana tradisi diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya, begitu juga nilai kerjasama, persefahaman dan hormat perlu kita wariskan kepada golongan muda dalam era digital," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-10 Pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat, Media dan Latihan (10th ASEAN SOMRI WG-IMT), di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Mohamad Fauzi berkata, majlis berkenaan bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya lambang persahabatan dan solidariti yang mencerminkan perpaduan ASEAN sebagai satu keluarga.
"Malaysia berbangga dapat berkongsi sedikit warisan kami malam ini melalui sajian, budaya dan layanan mesra. Pada masa sama, kita turut menghargai serta meraikan tradisi setiap negara anggota ASEAN yang mengingatkan kita bahawa walaupun budaya berbeza, semangat kesatuan kita tetap satu.
"Semoga majlis ini menjadi peringatan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan kita, manakala tradisi menjadi asas kepada ASEAN yang lebih kukuh dan bersatu," katanya.
Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-10 SOMRI mengenai Maklumat, Media dan Latihan yang bermula hari ini menghimpunkan wakil kanan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam perkongsian maklumat, amalan media bertanggungjawab serta perlindungan rakyat daripada kandungan berbahaya.
Mesyuarat dua hari itu juga meneruskan hasil daripada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) Ke-17 dan SOMRI Ke-22, yang menegaskan komitmen rantau ini untuk memupuk literasi digital, penggunaan media secara beretika serta menjaga integriti maklumat.
Delegasi Malaysia terdiri daripada wakil Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bernama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami