Rakyat Sabah khususnya generasi muda diminta memikirkan dan mengenal pasti cara menangani masalah kepupusan bahasa ibunda masing-masing - bahasa etnik minoriti di negeri ini.

Menyarankan demikian, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, bahasa ibunda termasuk misalnya bahasa Murut, semakin pupus kerana tidak lagi dituturkan oleh kebanyakan generasi muda.

"Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada generasi muda untuk lebih berbangga dengan bahasa sendiri dan terus bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.

"Ibu bapa pula harus menyemai nilai jati diri kepada generasi muda khususnya menerusi penggunaan bahasa ibunda ketika berkomunikasi dengan mereka.

"Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya bahasa kita pupus," kata Musa ketika berucap merasmikan Pesta Kalimaran di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom, Ahad malam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Raden Malleh.

Musa berharap Pesta Kalimaran itu boleh memperingatkan dan memberi peluang kepada generasi muda untuk berfikir tentang usaha mengekalkan bahasa ibunda.

Pada masa sama, beliau mengsyorkan persatuan-persatuan etnik seluruh negeri membuat penilaian tentang peranan masing-masing selain bekerjasama erat dengan kerajaan bagi mengangkat warisan kebudayaan ke tahap yang sepatutnya.

"Penganjuran pesta seperti ini sudah pasti akan menyumbang kepada usaha kita untuk mempromosi, memulihara, memurni dan mengangkat kebudayaan dan kesenian pelbagai etnik negeri Sabah kepada tahap yang lebih tinggi," katanya.

Musa mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Induk pesta yang dipengerusikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.

Katanya, pengisian pesta tahunan kali ke-11 itu berjaya memaparkan kekayaan, keunikan, kebudayaan dan kesenian etnik Murut dengan pelbagai penambahbaikan sejak dianjurkan pada 2003.

"Apa yang jelas, penganjuran pesta ini semakin bertambah baik dengan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan diperkenalkan, umpamanya pertandingan pondok tradisi bagi sub etnik Murut selain perarakan kebudayaan yang telah dimulakan sejak 2012," kata Musa.