KUALA LUMPUR: Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk penyediaan kemudahan lestari untuk kegunaan awam di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Komitmen itu dizahirkan menerusi program Fit & Green: CSR Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Taman Botani Kepong, hari ini, dengan kemuncaknya penyerahan sebuah gazebo lestari hasil sumbangan enam koperasi tempatan berjumlah RM20,800.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Fadilah Salim berkata inisiatif berkenaan membuktikan peranan gerakan koperasi bukan sekadar dalam pembangunan ekonomi, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
"Pengumpulan dana sebanyak RM20,800 oleh enam buah koperasi ini bukanlah satu jumlah yang sedikit. Ia merupakan satu usaha yang sangat murni apabila hasil titik peluh gerakan koperasi disumbangkan kembali untuk manfaat awam dan kelestarian kawasan rekreasi," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Beliau menambah usaha menjaga kelestarian kawasan FRIM semakin penting berikutan kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai serta diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurutnya, gazebo berkenaan bukan sahaja menyediakan tempat berteduh dan berehat kepada pengunjung yang menjalankan aktiviti riadah seperti brisk walk, malah menjadi simbol kerjasama erat antara gerakan koperasi dan agensi pemeliharaan alam sekitar.
Enam koperasi yang menyumbang kepada kemudahan berkenaan ialah Koperasi Jayadiri Berhad (KOJADI), Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGF), Koperasi Kakitangan FELDA (FELCOP), Koperasi Kakitangan BIMB Berhad (KOBIMBING), Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat).
Program Fit & Green 2026 turut mengetengahkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti senamrobik, dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Farmasi Al-Ariff dengan kerjasama KGF.
Kira-kira 60 sukarelawan menyertai program itu, terdiri daripada pengurusan SKM, FRIM, kepimpinan Majlis Perundingan Koperasi Negeri Wilayah Persekutuan (MPKN WP), pimpinan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta ahli koperasi tempatan.
Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Ismail Parlan, yang juga Penasihat Koperasi FRIM Berhad (KOFRIM).