Kerajaan perlu menyiasat secara terperinci terlebih dahulu latar belakang warga pelarian Syria sebelum diterima masuk ke negara ini, kata seorang perwakilan Gerakan.

Pengerusi Gerakan Negeri Kelantan, Senator Datuk Ng Ching Chin berkata hal ini perlu bagi memastikan mereka yang diterima masuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

"Oleh kerana pelarian Syria meninggalkan negara mereka akibat pergolakan politik, jadi tidak menolak kemungkinan mereka terdiri dari bermacam-macam latar belakang.

"Jadi pihak berkuasa terutamanya Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil serius akan perkara ini dengan menyiasat secara terperinci latar belakang mereka sebelum diterima masuk ke negara ini," katanya ketika menggulung sesi perbahasan pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-44 dekat sini, pada Ahad.

Wong, yang juga Anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan berkata sekiranya ada pelarian Syria disyaki atau didapati terlibat dalam aktiviti keganasan, kerajaan perlu menghalang kemasukan mereka bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 2 Oktober mengumumkan Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Terlebih dahulu dalam sesi perbahasan, seorang perwakilan dari Sabah, Chan Tzun Hei mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas pembelian tiket penerbangan domestik di negeri itu.

Katanya pengenaan GST membebankan penduduk Sabah yang banyak menggunakan pengangkutan udara untuk ke sesuatu tempat memandangkan bentuk muka buminya yang berbeza.

"Mengambil contoh dari Kota Kinabalu ke Sandakan, rakyat terpaksa menempuh jalan raya yang berliku-liku dan mengambil masa enam jam sedangkan jika menaiki kapal terbang, hanya 50 minit sahaja.

"Disebabkan itu, kita harap kerajaan dapat kaji semula pelaksanaan GST yang dikenakan terhadap penerbangan domestik kerana ia kini menjadi pilihan utama rakyat untuk ke kawasan yang sukar dituju menggunakan kenderaan," katanya.

Dalam pada itu, perwakilan dari Pulau Pinang, Hartini Abdullah berkata mana-mana pihak yang sering menimbulkan sentimen perkauman mesti segera dikenakan tindakan terutamanya pemimpin politik.

Katanya, setiap kaum di negara ini mempunyai hak keistimewaan tersendiri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan isu seumpamanya tidak harus dibangkitkan sehingga mengundang pergeseran kaum.

"Kini terlalu banyak manusia yang suka menjadi ekstrimis serta penyangak politik sehingga sanggup melemparkan kata-kata yang boleh mengguris maruah kaum lain dan ia dilihat perlu tindakan segera.

"Amatlah diharap pihak berwajib menangani hal ini dengan tindakan sewajarnya selaras dengan undang-undang sedia ada sebelum ia menjadi lebih teruk dan tidak terkawal," katanya.