MELAKA: Glam Ramadan Bazar Klebang 2024 berjaya meraih nilai jualan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM3 juta dalam tempoh 15 hari penganjurannya bermula 1 Ramadan lepas.

Penganjur bazar berkenaan, Abdul Rashid Omar berkata, nilai jualan itu dianggarkan menerusi pengagihan kupon cabutan bertuah sebanyak 100,000 keping, dengan setiap pembelian RM30 pengunjung berpeluang mendapat satu kupon cabutan berkenaan.

"Pada tahun ini, kita mengagihkan 100,000 kupon cabutan bertuah kepada peniaga berbanding 50,000 keping pada tahun lepas.

"Jumlah kehadiran pengunjung juga dianggarkan sebanyak 300,000 orang dalam tempoh 1 Ramadan hingga semalam, manakala 205 peniaga berniaga di Glam Ramadan Bazar Klebang 2024 ini," katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Malam Kemuncak Glam Ramadan Bazar Klebang 2024 yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, sepanjang penganjuran bazar berkenaan, respons diperoleh daripada peniaga adalah positif, sekali gus membuktikan penganjuran Glam Ramadan Bazar Klebang 2024 membantu mereka menjana pendapatan lebih baik.

Beliau berkata, dalam tempoh 15 Ramadan lepas, hampir 90 peratus peniaga mampu membayar sewa tapak khemah yang disediakan dan tiada isu harga sewa mahal.

"Penganjuran Glam Ramadan Bazar Klebang kali kedua ini juga di lokasi baharu, kita dapat melihat perjalanannya lebih lancar dan tidak berlaku kesesakan trafik yang teruk seperti tahun lepas kerana tahun ini, bazar Ramadan di sini hanya melibatkan satu penganjur di satu lokasi berbanding dua penganjur di lokasi berhampiran tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, penganjuran bazar Ramadan itu juga bukan sahaja menarik kunjungan rakyat tempatan, malah dari luar Melaka termasuk Singapura juga kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan seperti kereta dan persembahan artis popular antaranya, Hazama dan Azlan and The Typewriter.

Abdul Rashid berkata, Glam Ramadan Bazar Klebang 2024 juga merupakan satu daripada destinasi tumpuan pengunjung sekali gus membantu kerajaan negeri menggamit kedatangan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Beliau berkata, bazar Ramadan berkenaan akan beroperasi hingga tengah malam hari raya dan peniaga telah mula memberikan potongan harga menarik bagi setiap barangan yang dijual menjelang tujuh hari sebelum raya. - BERNAMA