Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dinasihat belajar sejarah dan memahami pindaan hukuman hudud yang dicadang dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 18 Mac depan yang sudah wujud lebih 20 tahun yang lalu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Gobind seharusnya sedar Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan yang ingin dipinda itu sudah lahir sebelum adanya Pakatan Rakyat (PR) lagi.

"Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan yang ingin dipinda ini adalah sebuah undang-undang yang telah wujud lebih 20 tahun yang lalu, lama sebelum kewujudan Pakatan Rakyat itu sendiri.

"Manakala pindaan yang dicadangkan hanyalah untuk mengemaskini dan memperbaiki undang-undang tersebut terutama dari aspek teknikal yang tertentu.

"Ia belum dapat dilaksanakan sehinggalah mendapat kebenaran dan pindaan undang-undang di Parlimen," katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Mahfuz mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Gobind yang memaklumkan undang-undang hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama PR, malah pembentangan rang undang-undang itu juga bertentangan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan.

Tegas Gobind, kedegilan kerajaan PAS Kelantan meneruskan pembentangan tersebut mengisyaratkan bahawa parti itu tidak lagi akan dilihat sebagai sebahagian daripada PR.

Jelas Mahfuz lagi, pindaan yang bakal dibentangkan juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian ahli Parlimen (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat.

"Ia berkait dengan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan atau Akta Mahkamah Syariah 1965 sebagaimana yang digemburkan oleh sesetengah pihak memandangkan tarikh pembentangannya masih belum ditetapkan lagi.

"Adapun PAS menggunakan jalan demokrasi dalam proses melaksanakan perkara ini yang mana ia memberikan pilihan kepada Ahli Parlimen untuk membentangkan, membahas,menyokong atau menolak rang undang-undang persendirian yang ingin dibawa itu," ujarnya.

Oleh itu tegas Mahfuz, Gobind dinasihat menggunakan ruang demokrasi tersebut untuk menyatakan pendirian bersama Ahli Parlimen DAP yang lain tanpa perlu membangkitkan isu berkenaan kedudukan parti lain di dalam Pakatan Rakyat.

"PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan akur dengan apa jua keputusan dan ketetapan yang akan diputuskan di Parlimen kelak sama ada menerima mahupun menolak rang undang-undang persendirian tersebut.

"PAS juga menghormati keputusan yang telah disepakati bersama di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang lalu," katanya.

Mahfuz turut mendesak Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dapat diadakan segera agar pihak PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan dapat memberikan penjelasan butiran pindaan Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan sekali gus menyelesaikan sebarang isu susulan yang bakal timbul kelak.