Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu memastikan mat motor di negara ini diberi peluang untuk dapatkan pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Jelasnya, menerusi perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek adalah langkah terbaik bagi mat motor jana pendapatan.

“Dalam kehidupan realiti, mat motor mahukan pekerjaan demi kualiti hidup yang lebih baik. Mereka juga mahukan peluang pekerjaan diberikan kepada mereka.

“Saya juga tidak dapat menerima hakikat bahawa perkhidmatan teksi motosikal dibanteras ini kerana ia hanya membunuh industri ini.

“Jika kita lihat perkhidmatan gojek yang dilaksanakan di Indonesia, mereka telah berjaya melahirkan lebih 2 juta peluang pekerjaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI bagi program bual bicara Consider This pada Isnin.

Jelasnya lagi, menerusi mesyuarat yang diadakan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengasas Gojek, Nadiem Makarim idea itu dianggap positif buat anak muda di negara ini.

“Saya telah berbincang bersama Menteri Pengangkutan, dan perkara ini akan dibawa pada mesyuarat kabinet akan datang.

“Pastinya kami mengharapkan keputusan optimum hasil dari mesyuarat itu nanti,” katanya.


Terdahulu, Syed Saddiq Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya, mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan ojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia. Perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi yang dibangunkan.