PUTRAJAYA: Kumpulan umur antara 16 hingga 30 tahun merekodkan statistik tertinggi yang maut dalam kemalangan motosikal pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,674 mangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara keseluruhannya, jumlah kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya pada 2023 turut meningkat 10 peratus dengan 4,480 kemalangan maut melibatkan 4,499 jumlah kematian.

Jelas beliau, peningkatan kematian dalam kumpulan penunggang motosikal berumur 16 hingga 30 tahun mempunyai kaitan dengan ketiadaan lesen memandu dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Saya dimaklumkan bahawa kemalangan ini telah mula berlaku di umur rendah walaupun syarat memohon lesen bermula 16 tahun, tetapi oleh kerana pelajar sekolah rendah telah mula menunggang motosikal seawal tujuh atau lapan tahun.

“(Punca kemalangan maut) Mereka tiada lesen dan tidak ikut peraturan lalu lintas dan peraturan permotoran,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri MOT, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata peningkatan kemalangan dan kematian penunggang motosikal dikesan berlaku pada waktu puncak iaitu ketika waktu pergi dan pulang kerja.

Beliau menambah, melalui sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia, beberapa cadangan turut dikemukakan termasuk melibatkan persatuan tersebut dalam acara permotoran bersama JPJ dan memberi pendedahan serta pendidikan awal keselamatan jalan raya bermula di peringkat sekolah rendah.

"Saya harap pendidikan di sekolah rendah, (dapat diberikan oleh) ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan (kementerian) memohon pihak sekolah membenarkan JPJ dan polis trafik turun ke bawah (bagi memberikan pendedahan kepada murid-murid)," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Pelan Keselamatan Jalan Raya (PKJRM) 2022- 2030, turut mensasarkan 50 peratus pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030.

Selain itu, Ahmad Zahid memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju agar Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya disatu.

Statistik kes kemalangan melibatkan kenderaan motosikal yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan purata kemalangan sehari ialah  268.86 kes, manakala dianggarkan 11.20 kes bagi setiap jam direkodkan pada 2023.