KUALA LUMPUR: Populasi bilionair Malaysia dijangka meningkat sebanyak 39 peratus menjelang 2031, menurut Knight Frank dalam penerbitan utamanya, The Wealth Report.
Ia memaklumkan individu dengan kekayaan bersih sangat tinggi (UHNWI) Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan lima tahun sebanyak 20.1 peratus, daripada 1,566 individu pada 2026 kepada 1,881 pada 2031, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding lima tahun sebelumnya iaitu pada 6.5 peratus (2021-2026).
Advertisement
"Peningkatan UHNWI di Malaysia dikaitkan dengan pengembangan ekonomi negara yang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global dan turun naik harga tenaga, disokong oleh prestasi ringgit yang berterusan dan pasaran modal yang aktif, dengan penyenaraian yang berkembang tahun demi tahun sejak 2020," kata Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia Keith Ooi dalam satu kenyataan hari ini.
Golongan itu dianggap sebagai penggerak utama dalam pasaran hartanah mewah dan pelaburan modal di Malaysia.
Menurut Indeks Kediaman Antarabangsa Utama Knight Frank, kediaman mewah di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan nilai yang stabil, berkembang 1.1 peratus pada 2025 sejajar dengan prestasi konsisten segmen kediaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Transaksi pula meningkat sebanyak 5.4 peratus, daripada 399,008 pada 2023 kepada 420,545 pada 2024.
Kadar pertumbuhan yang stabil di Kuala Lumpur mencerminkan keadaan yang berbeza-beza di seluruh rantau Asia Pasifik, dengan nilai di Hong Kong jatuh 2.1 peratus pada 2025, manakala Singapura terus mencatatkan rekod harga melebihi US$6,000 kaki persegi (RM23,782 kaki persegi) dengan pertumbuhan 7.9 peratus.
"Kami melihat prospek yang bercampur-campur pada 2026, memandangkan pembaharuan perumahan yang menyokong seperti cadangan Akta Pembangunan Hartanah dan platform Transforming and Empowering Data Usage in Housing (TEDUH), akan menyokong sentimen pasaran yang lembap di tengah-tengah ketidaktentuan yang meluas.
"Dalam persekitaran ini, aset kediaman utama terus mengekalkan nilainya, walaupun modal swasta dan pelabur institusi mungkin akan mempertimbangkan kepelbagaian untuk mengurangkan risiko," kata Pengarah Eksekutif Pemasaran Projek Antarabangsa Knight Frank Property Hub Adrian Yeoh.
-- BERNAMA