PORT DICKSON: Kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa komited membantu meringankan beban golongan nelayan dan memastikan kebajikan mereka terjaga melalui penyaluran pelbagai bantuan dan insentif, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia termasuk Insentif Galakan Nelayan (INGEN) dengan peruntukkan sebanyak RM500,000 yang diperkenalkan pada 2022, bantuan membeli kelengkapan, alatan dan baik pulih bot serta geran bantuan kepada yang berkelayakan selain Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

"Pada tahun lepas, seramai 318 nelayan di negeri ini menerima ESHN dengan keseluruhan berjumlah RM1.11 juta.

"Hari ini pula 276 nelayan menerima elaun berkenaan berjumlah RM82,800 dengan 210 daripadanya merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Port Dickson manakala bakinya PNK Teluk Kemang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Nelayan Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan kepada pengeluar makanan termasuk nelayan dan penternak akuakultur sekali gus menjamin ekosistem makanan negara.

Katanya pembangunan perikanan laut dan perikanan darat perlu dipertingkatkan melalui galakan inovasi dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi serta kepelbagaian spesies kultur bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara.

-- BERNAMA