KUALA LUMPUR: Golongan rentan terutama warga emas yang mudah mendapat jangkitan kesihatan perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan disebabkan isu jerebu.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Malina Osman menjelaskan, orang ramai perlu mengurangkan sumber pencemaran di rumah seperti merokok atau menghisap vape mahupun melakukan pembakaran sampah di kawasan luar rumah untuk menjaga kualiti udara.

"Apabila udara di luar tidak sihat, kebanyakan kita berada di dalam bangunan. Jadi dalam bangunan kita perlu pastikan udara dalam bangunan adalah sihat.

"Kalau dua-dua tak sihat, ia akan menyebabkan double hazard bagi mereka yang terdedah kepada udara sekitar," katanya dalam program Buletin Awani pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau turun menyarankan kerajaan bertindak lebih tegas serta mewujudkan polisi lebih jelas memandangkan masalah itu yang berulang setiap tahun.

Katanya, ia termasuk perbincangan dan persefahaman antara negara jiran dalam mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka.

Sementara itu jelas Dr Malina, penjagaan ventilasi udara di dalam rumah juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mengelakkan kesan jerebu lebih teruk berlaku.

"Bekas-bekas air kalau boleh dialirkan dari masa ke sama akan memberikan lapisan barier dan ini memerlukan mekanisme tertentu.

"Yang pastinya di sini, pastikan anda tidak terdedah kepada udara di luar dengan kualiti tidak sihat dan di rumah pastikan ia dalam kualiti yang sihat," katanya.