GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menyeru lebih ramai golongan wanita daripada pelbagai latar belakang untuk mengetengahkan bakat dalam bidang kepimpinan terutamanya dalam arena politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Chong Eng berkata, penglibatan lebih ramai golongan wanita dalam bidang itu dilihat mampu menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan negeri ke arah yang lebih progresif melalui platform Jelajah Sidang Wanita Pulau Pinang 2021.

"Tahun ini seramai 275 peserta wanita mengikuti program ini yang dilakukan secara dalam talian, iaitu mereka berpeluang untuk berinteraksi bersama wakil-wakil rakyat Pulau Pinang menerusi 'break-out room' yang disediakan (melalui aplikasi Zoom).

"Ia melibatkan sesi suai kenal, perkongsian kefahaman mengenai peranan setiap wakil rakyat, pendedahan sistem demokrasi di Malaysia, memberi pendedahan mengenai pemerkasaan wanita, tadbir urus baik, penyertaan masyarakat dan kesaksamaan gender seterusnya memahami bidang kuasa wakil rakyat dalam membuat keputusan penting untuk mengubah sesuatu dasar dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom sempena program Jelajah Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.

Chong yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berkata seramai 15 fasilitator akan menilai kesemua 275 peserta wanita bagi memilih 100 peserta terbaik yang akan dilatih menjadi pemimpin berkaliber bagi menyambung legasi kumpulan wanita perintis Jelajah Sidang Wanita tahun lepas.

"Kita berharap peserta yang terlibat tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan bakat kepimpinan yang ada secara optimum kerana kita mahu lahirkan pemimpin yang mampu mengangkat segala aspek isu semasa terutamanya isu wanita serta isu golongan minoriti yang diharap dapat membawa manfaat dan perubahan positif kepada semua pihak," katanya.

Beliau berkata seramai 40 pemimpin wanita terpilih (daripada 100 peserta yang disaring) akan ke peringkat Persidangan Sidang Wanita bagi mengetengahkan wanita berkaliber dan berpotensi dalam bidang politik.

Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam telah melancarkan Jelajah Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 pada 13 Julai lepas dan program ini merupakan Edisi Kedua dengan PWDC merupakan agensi pelaksana.

-- BERNAMA