KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar tayar global, Goodyear sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain seperti Proton Holdings Berhad (Proton) bagi memastikan 550 pekerja yang terjejas mendapat peluang pekerjaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia bagi memastikan pekerja terkesan dilindungi dalam jangka masa panjang.

‘’Goodyear telah beri jaminan akan memberi pampasan kepada semua yang terkesan dan mereka juga akan memberi (pampasan) lebih daripada apa yang ditetapkan.

‘’Syarikat (Goodyear) juga telah memaklumkan yang mereka sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain seperti Proton dan beberapa syarikat lain untuk menjanjikan peluang pekerjaan yang sesuai.

‘’Semua usaha ini sebenarnya telah dimulakan sebelum pengumuman dibuat semalam (Khamis),’’ katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul menegaskan penutupan operasi syarikat itu di Malaysia adalah disebabkan pelan penstrukturan semula yang dijalankan oleh entiti tersebut.

Tambahnya, penutupan operasi ini turut memberi kesan di peringkat antarabangsa apabila dua kilang milik syarikat ini di Jerman dan satu kilang United Kingdom turut berdepan situasi sama.

‘’Mengapa kilang ini ditutup pun kita sudah tanyakan kepada mereka (Goodyear) dan mereka memaklumkan ia sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat mereka.

‘’Dengan penutupan operasi ini, mereka akan dapat menjimatkan kos lebih kurang $AS1 billion menjelang 2025.

‘’Goodyear juga akan tutup dua kilang di Jerman melibatkan 1,750 pekerja dan di United Kingdom, jadi ini merupakan sebahagian pelan penstrukturan semula mereka dan bukan Malaysia sahaja terjejas, malah seluruh dunia,’’ tambahnya.

BACA: Kilang Goodyear tutup: Kerajaan tubuh pasukan khas bantu pekerja terjejas

Pada Khamis, Goodyear mengumumkan membuat keputusan untuk menutup operasi kemudahannya di Shah Alam sekali gus memberi kesan kepada lebih kurang 550 kakitangannya.

Presiden Goodyear bagi Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata, langkah itu adalah seiring dengan program transformasi kumpulan, Goodyear Forward dalam mengoptimumkan portfolio dan kehadirannya di peringkat global.

Beliau berkata, ia juga membantu memberi pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.