GOOGLE memecat 28 pekerjanya pada Rabu selepas mereka terlibat dalam protes terhadap projek Nimbus, iaitu kontrak layanan perkomputeran awan bernilai AS$1.2 bilion dengan kerajaan Israel, dan membabitkan Amazon.

Pekerja di kedua-dua syarikat itu mendakwa perjanjian berkenaan menghasilkan teknologi canggih dengan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk kegunaan anggota keselamatan Israel sekali gus menyumbang kepada pembunuhan warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Portal The Intercept dan Time juga melaporkan bahawa projek Nimbus membekalkan perkhidmatan yang boleh diakses oleh Angkatan Pertahanan Israel.

Pemecatan itu, yang disahkan Google, berlaku beberapa jam selepas sembilan pekerja ditahan polis pada Selasa selepas melakukan mogok duduk di hadapan pejabat Ketua Pengarah Eksekutif Google Cloud Thomas Kurian di Sunnyvale, California, serta sebuah lagi pejabat di New York.

Kesemua sembilan pekerja itu dipecat, bersama 19 lagi peserta protes lain.

Gerakan tunjuk perasaan itu dilakukan dengan dipimpin kumpulan aktivis yang dinamakan 'No Tech For Apartheid' yang mendesak Google dan Amazon untuk membatalkan kontrak projek Nimbus.

Jurucakap Google Anna Kowalczyk dalam satu kenyataan berkata, para pekerja itu dipecat dari tugas selepas siasatan dalaman mendapati 'mereka bersalah kerana secara fizikal menghalang pekerja lain daripada menjalankan tugas dan mengakses kemudahan pejabat'.