SEREMBAN: Google memperuntukkan AS$160 juta (RM651 juta) untuk membiayai pembangunan infrastruktur bekalan air guna sama yang baharu di Negeri Sembilan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat serta menyokong operasi pusat datanya yang bakal beroperasi di Springhill Industrial Park, Port Dickson.
Syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini menyatakan projek berkenaan melibatkan pembinaan sebuah takungan simpanan air luar sungai serta loji rawatan air yang mampu menghasilkan 65 juta liter air terawat sehari apabila mula beroperasi.
Projek itu akan dilaksanakan oleh Gamuda Bhd dengan kerjasama kerajaan negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS).
“Setelah siap, kemudahan berkenaan akan dimiliki oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS), sebuah badan berkanun di bawah kerajaan negeri yang bertanggungjawab menguruskan aset negeri,” menurut kenyataan itu.
Terletak di sepanjang Sungai Linggi, takungan simpanan air luar sungai itu direka bentuk untuk menakung lebihan aliran sungai dan air hujan, khususnya ketika kadar aliran air tinggi bagi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar yang mudah dilanda bencana alam berkenaan.
Air mentah yang disimpan itu kemudiannya akan disalurkan ke loji rawatan untuk dirawat sebelum dibekalkan bagi kegunaan domestik dan komersial.
Ketika aliran air berkurangan, loji berkenaan boleh menggunakan bekalan air daripada simpanan takungan itu secara langsung bagi memastikan bekalan air kepada masyarakat setempat kekal terjamin tanpa menjejaskan aliran semula jadi sungai.
Google memberitahu pembangunan infrastruktur digitalnya di Negeri Sembilan akan merangkumi kampus pusat data yang dirancang, infrastruktur bekalan air guna sama serta program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja yang disasarkan.
Syarikat itu juga akan menanggung sepenuhnya kos elektrik yang digunakan oleh kampus pusat datanya serta kos infrastruktur secara langsung yang diperlukan untuk menghubungkan kemudahan berkenaan kepada grid elektrik selain mematuhi semua peraturan tempatan yang berkuat kuasa.
Komitmen syarikat itu terhadap Negeri Sembilan akan meliputi fasa pembinaan serta keseluruhan tempoh operasi kampus pusat data itu yang dijangka merentasi selama beberapa dekad.
Kampus pusat data yang dirancang di Port Dickson tersebut direka khusus untuk menjadi antara pusat data paling cekap tenaga di dunia.
Apabila mula beroperasi nanti, keupayaan pengkomputeran canggihnya akan menyokong perkhidmatan Google termasuk Search, Maps dan Chrome yang digunakan setiap hari oleh jutaan individu dan organisasi di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Infrastruktur Global dan Tenaga Google bagi Asia Pasifik Drew Byrnes berkata pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur bekalan air guna sama itu mencerminkan aspirasi global syarikat untuk mengembalikan 120 peratus daripada jumlah air tawar yang digunakannya.
Beliau memberitahu, meskipun penilaian risiko air Google menunjukkan bahawa sumber air tempatan tidak berisiko tinggi untuk mengalami kekurangan atau penyusutan, syarikat itu kekal komited untuk berkembang secara lestari menerusi usaha pengisian semula sumber air, penambahbaikan infrastruktur bekalan elektrik serta pembangunan kemahiran.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan rakan kongsi tempatan, bermula daripada fasa pembinaan hingga operasi jangka panjang bagi memberi manfaat berterusan kepada tenaga kerja dan masyarakat setempat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan Datuk Najmuddin Sharif Sarimon menyifatkan cadangan pembangunan pusat data itu merupakan pencapaian penting dalam usaha negeri berkenaan untuk menjadi destinasi pelaburan infrastruktur digital bernilai tinggi yang berdaya saing.
“Kami menghargai pendekatan Google yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh, bermula daripada pemilihan strategik tapak pembangunannya hingga komitmen syarikat terhadap infrastruktur bekalan air, penambahbaikan infrastruktur bekalan elektrik serta pewujudan peluang baharu dalam pembangunan kemahiran dan pekerjaan,” katanya.
Najmuddin turut memaklumkan bahawa projek itu akan memperkukuh ekonomi digital Negeri Sembilan yang sedang berkembang, menarik pelaburan sokongan, memperluas peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan membangunkan tenaga kerja berkemahiran selain memperluas ekosistem digital negeri berkenaan.
-- BERNAMA