Ringkasan AI
- KTMB merekodkan jualan 100,304 tiket ETS dan EMUPlus bagi tempoh 5 hingga 10 November sempena Hari Deepavali.
- Kapasiti tempat duduk meningkat 70 peratus berbanding musim perayaan sama tahun lalu untuk memenuhi permintaan tinggi penumpang.
- KTMB menasihatkan orang ramai merancang perjalanan awal, membeli tiket melalui saluran rasmi dan tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum berlepas.
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan jualan 100,304 tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan EMUPlus bersempena dengan Hari Deepavali bagi tempoh perjalanan 5 hingga 10 Nov ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata permintaan tinggi itu mencerminkan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap perkhidmatan kereta api sempena musim perayaan.
“Kapasiti tempat duduk yang ditawarkan turut meningkat 70 peratus berbanding tempoh perayaan sama tahun lepas,” katanya selepas majlis pengagihan 600 pek cenderahati Deepavali kepada penumpang ETS bersama dengan Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran di KL Sentral di sini hari ini.
KTMB sebelum ini mengumumkan penambahan 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus bagi memenuhi permintaan penumpang sempena perayaan itu.
Selain itu, KTMB membuka jualan tiket ETS dan Ekspres Rakyat Timuran bagi tempoh perjalanan Januari hingga Februari 2027 mulai 12 tengah hari tadi sebagai sebahagian daripada tawaran keseluruhan sebanyak 1.57 juta tempat duduk bagi suku pertama tahun depan dan sebanyak 102,819 tiket telah dijual.
KTMB turut menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, membeli tiket menerusi saluran rasmi dan tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas bagi memastikan perjalanan lebih lancar serta selesa sepanjang musim perayaan.
-- BERNAMA