KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas di Bukit Jalil, khususnya ketika penganjuran konsert dan acara berskala besar, mendorong kerajaan meneroka penyelesaian bandar pintar, selain memperincikan pelan kawalan trafik bagi meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud telah melantik perunding bagi menyediakan kajian pelan kawalan mikro Bukit Jalil, yang mengambil kira pelbagai isu dibangkitkan penduduk, termasuk masalah kesesakan lalu lintas dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Beliau berkata kajian itu penting memandangkan Bukit Jalil mempunyai ciri tersendiri sebagai hab penganjuran acara dan konsert yang menjana aliran trafik tinggi, sekali gus memerlukan pendekatan pengurusan trafik khusus berbanding kawasan lain.
“Kita tahu memang ada kesesakan, kerana situ setiap hujung minggu sekarang bila ada konsert, Bukit Jalil memang sesak habis, berjam-jam sebelum waktu konsert sudah sesak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hannah berkata pelan kawalan trafik bagi kawasan Bukit Jalil juga dijangka siap pada Feb 2027 yang akan diaudit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan di lapangan dan bukan sekadar perancangan di atas kertas.
Dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Digital bagi meneroka peluang melaksanakan penyelesaian bandar pintar untuk membantu menangani kesesakan di kawasan berkenaan.
Selain itu, Hannah berkata perbincangan turut diadakan dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagi meneliti langkah meningkatkan akses pengangkutan ke Bukit Jalil termasuk kemungkinan mewujudkan hab bas transit berkaitan perancangan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil tertakluk kepada syarat penyediaan infrastruktur terlebih dahulu atau dilaksanakan serentak dengan pembangunan bagi memastikan kemudahan asas mampu menampung keperluan penduduk.
Sebanyak empat kebenaran merancang telah diberikan, iaitu perintah pembangunan bagi pelan susur atur keseluruhan, MADANI Hub yang merangkumi dewan, medan selera dan stesen bas, Residensi MADANI berharga bawah RM200,000 untuk 4,218 unit serta Sekolah MADANI terdiri daripada prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pendidikan khas.
“Dalam pembangunan ini DBKL bertindak sebagai pihak berkuasa yang meluluskan. DBKL akan memastikan semua pembangunan mengikut PTKL (Pelan Tempatan Kuala Lumpur) 2040, termasuk kepadatan penduduk.
“Cadangan pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil dengan kepadatan keseluruhan dengan anggaran 1,048 orang seekar adalah selaras dengan garis panduan perumahan mampu milik dan PTKL 2040,” katanya.
Beliau berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang memantau pelaksanaan pembangunan berkenaan bagi memastikan infrastruktur yang diperlukan dapat dibangunkan seiring dengan kemajuan projek sebelum lebih banyak kebenaran merancang diberikan bagi fasa seterusnya.
Mengenai kemudahan pejalan kaki, Hannah berkata DBKL akan membina 22 kilometer (km) laluan pejalan kaki di kawasan Parlimen di ibu negara dengan peruntukan RM55 juta bermula Jan 2027.
Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang dua km bagi setiap kawasan Parlimen dan dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.
“Jumlah pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dari 2023 sehingga kini melibatkan 29 lokasi dengan jarak keseluruhan sepanjang 4.35 km. Buat masa ini tiada laluan pejalan kaki sedang dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata DBKL turut merancang tambahan 20 km laluan pejalan kaki berbumbung di pusat bandar bagi menghubungkan kemudahan pengangkutan awam dengan pusat komersial, kompleks pejabat serta kawasan rekreasi termasuk Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa.
-- BERNAMA