KUALA LUMPUR: Syarikat permulaan atau 'start-up' paling bernilai di Asia Tenggara, Grab Holding Inc (Grab) mengesahkan penggabungan dengan sebuah syarikat pemilikan tujuan khas (SPAC) Altimeter Growth Corp dengan nilai AS$40 bilion.

Pengumuman ini menyusul keputusan untuk menyenaraikan Grab di NASDAQ dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Perjanjian penggabungan ini juga menyaksikan pelaburan bernilai AS$4 bilion oleh pemilik Altimeter Growth Corp, Altimeter Capital.

Ia sekali gus membolehkan Grab meletakkan sasaran untuk memperoleh sekitar AS$4.5 bilion sebagai hasil penyenaraiannya di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) kelak.

Penyedia pengangkutan dan perkhidmatan darat yang berpangkalan di Singapura itu sudah mengumpulkan dana bernilai AS$12 bilion sejak diasaskan pada 2012.

Ini adalah platform pengangkutan darat utama ketiga yang didagangkan di pasaran saham selepas Uber dan Lyft pada tahun 2019.

"Ini adalah kejayaan dalam perjalanan kami untuk membolehkan lebih ramai orang mendapat manfaat daripada ekonomi digital. Perkara ini penting apabila wilayah pulih daripada COVID-19," kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Anythony Tan.

Aplikasi Grab yang pernah dikenali sebagai MyTeksi ketika awal operasinya di Malaysia kini berubah wajah daripada hanya sebuah aplikasi untuk menempah perkhidmatan pengangkutan kepada sebuah 'super-app'.

Ia sekali gus meningkatkan penggunaan kalangan penggunanya, dengan pelanggan yang membuat lebih daripada dua atau lebih transaksi meningkat lima kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu kebelakangan ini.