Graduan universiti dinasihat supaya menolak sifat taksub, fanatik dan fahaman melampau bagi mengekalkan kemakmuran negara, titah Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Beliau berkata pendekatan wasatiyah, berimbang dan mementingkan kecemerlangan pendidikan perlu diambil bagi mengelak kestabilan negara menjadi porak-peranda.

"Harus diingat dan dihayati bahawa perpaduan dan kestabilan masyarakat Malaysia merupakan antara rencah yang amat penting dalam menjamin kemajuan negara yang dicintai ini.

"Saya berdoa dan berharap agar naratif Malaysia yang membolehkan kita sampai ke tahap ini berkekalan," katanya sempena Majlis Konvokesyen Ke-29 UUM di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mewakili Menteri Besar Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Siti Sa'diah Sheikh Bakir.

Beliau berkata, masyarakat hari ini juga berdepan dengan globalisasi yang mengundang pelbagai cabaran yang memerlukan setiap anggota masyarakat membuat keputusan bijak.

"Dalam hal ini, graduan berperanan untuk menebak ufuk pemikiran masyarakat dengan kesahihan ilmu pengetahuan untuk merungkai permasalahan yang dihadapi," katanya.

Beliau turut berbangga apabila UUM mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, menyifatkan ia merupakan hadiah kepada semua dan berharap kecemerlangan itu akan terus dilonjakkan.

Walaupun demikian, beliau bertitah negara tidak akan mencapai status negara maju pada 2020 atau sasaran kerajaan pada 2050 sekiranya universiti gagal melahirkan jumlah bilangan pelajar yang ditetapkan dalam bidang yang diiktiraf dunia.

"Saya ingin mengingatkan bahawa tugas universiti bukanlah semata-mata untuk melahirkan tenaga mahir namun yang jauh tersirat adalah untuk melahirkan golongan intelektual yang memenuhi cita-cita nasional," katanya.

Pada majlis konvokesyen itu bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff dilantik sebagai Pro Canselor UUM yang baharu berkuat kuasa 1 Sept lalu.

Beliau turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) kepada Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Samsudin Osman dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd Datuk Ramly Mokni.

Seramai 6,737 graduan menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada 1,512 graduan pasca siswazah manakala bakinya adalah graduan Sarjana Muda.

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan 26 graduan sulung bagi Program Sarjana Sains (Kewangan Islam) dan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif menerima ijazah masing-masing.

-- BERNAMA