Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu graduan institusi pengajian tinggi memenuhi keperluan arus perdana negara dengan membentuk sahsiah diri yang berkualiti.

Baginda yakin langkah proaktif Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadikan bidang kokurikulum sebagai komponen wajib pengajian mampu melahirkan graduan yang diperlukan negara.

Bertitah merasmikan Karnival Kokurikulum UiTM Perlis 2013 sempena sambutan ulang tahun ke-70 keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di kampus UiTM Perlis di Arau hari ini, baginda berharap langkah UiTM itu akan meningkatkan kemahiran graduan di luar bidang pengkhususan akademik seperti aspek kepimpinan, pengurusan organisasi dan berinovatif.

Selain itu, ia juga diharap berupaya meningkatkan kecergasan fizikal dan mental, berkarisma dan beramanah di samping melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani, titah baginda.

Pelbagai acara diadakan sempena karnival dua hari itu termasuk pertandingan kawad kaki dan pancaragam badan beruniform, pertunjukan brass band dan tempur tanpa senjata, pameran, pertandingan sukan dan gerai jualan.

Turut hadir Rektor UiTM Perlis Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.