Skip to main content

Malaysia

Graduan TVET digesa manfaat MYFutureJobs jika sukar dapat pekerjaan - Ramanan

PUTRAJAYA, 4 Ogos -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan (tengah) menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan yang bertidakemampuan pada Istiadat Konvokesyen Kolej Teknologi Termaju (Adtec) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) kali ke-29 hari ini.  Sesi pertama Istiadat Konvokesyen Adtec JTM ini melibatkan 637 graduan daripada keseluruhan kira-kira 1,400 graduan yang diraikan hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan (tengah) menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan pada Istiadat Konvokesyen Adtec JTM kali ke-29 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

BANGI: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang masih belum memperoleh pekerjaan digesa supaya memanfaatkan portal MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata portal yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan daripada majikan di seluruh negara dan mampu menjadi platform terbaik bagi graduan memulakan kerjaya.

“Kalau susah nak cari kerja, boleh memohon melalui portal MYFutureJobs yang disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia. Peluang pekerjaan memang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Kolej Teknologi Termaju (Adtec) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di sini hari ini.

Ramanan berkata kerajaan akan terus membantu graduan TVET memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran masing-masing, sejajar dengan keperluan industri yang terus memerlukan tenaga kerja mahir.

Dalam pada itu, beliau berkata graduan Adtec JTM terus mendapat pengiktirafan daripada industri apabila kadar kebolehpasaran graduannya mencecah 95.5 peratus, manakala tahap kepuasan majikan terhadap lepasan institusi itu direkodkan pada 97.2 peratus.

“Pencapaian ini membuktikan latihan yang diberikan Adtec JTM memenuhi keperluan industri. Ini adalah permata kerajaan yang mungkin ramai tidak tahu, sebab itu kejayaan ini perlu diketengahkan,” katanya.

Mengulas mengenai gaji permulaan graduan, beliau berkata pendapatan yang diterima berbeza mengikut sektor pekerjaan dan lokasi penempatan, dengan ada antara graduan memperoleh gaji melebihi RM4,000 sebulan, khususnya dalam bidang seperti maritim yang menawarkan elaun dan bayaran dalam mata wang asing.

Beliau berkata syarikat besar termasuk Perodua, Huawei dan 7-Eleven antara majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan Adtec JTM, sekali gus mencerminkan keyakinan industri terhadap kualiti latihan yang disediakan institusi itu.

Terdahulu, Ramanan menghadiri sesi pertama Istiadat Konvokesyen Adtec JTM yang melibatkan 637 graduan daripada keseluruhan kira-kira 1,400 graduan yang diraikan hari ini.

Secara keseluruhan, 8,255 graduan daripada 33 kampus JTM dan dua kampus satelit di seluruh negara menerima sijil dan diploma pada istiadat konvokesyen tahun ini, yang berlangsung dalam beberapa sesi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement