Grid Tenaga ASEAN, tenaga boleh baharu penting demi kemakmuran serantau - Fadillah

Fadillah berucap pada penutup Forum Perniagaan Tenaga ASEAN Ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inisiatif serantau seperti Grid Tenaga ASEAN (APG) dan penyepaduan tenaga boleh baharu adalah penting sebagai pemboleh untuk kemakmuran bersama di ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Grid Tenaga ASEAN (APG) penting untuk mengukuhkan kerjasama tenaga serantau dan menyokong kemakmuran bersama ASEAN.
- Malaysia komited melalui MoU APG Dipertingkat bagi mempercepat penyepaduan tenaga boleh baharu dan memastikan keterjaminan tenaga.
- ASEAN sepakat mempercepat peralihan tenaga rendah karbon secara adil dan inklusif melalui kerjasama serantau di bawah Pelan APAEC 2026-2030.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN Datuk Razib Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz.
Fadillah berkata ASEAN komited untuk membangunkan kerjasama serantau dalam memastikan keterjaminan tenaga dan mempercepat penyahkarbonan bagi peralihan tenaga yang adil dan inklusif, sejajar dengan tema Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030.
"Kita yakin menerusi kerjasama ini kita dapat mendorong kemajuan yang bermakna dan memastikan tiada negara anggota yang tertinggal," katanya.
PETRA menjadi tuan rumah manakala Pusat Tenaga ASEAN pula selaku penganjur forum selama tiga hari bermula 15 Oktober yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.
AEBF ke-25, mengangkat tema "Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity", menarik penyertaan 1,500 wakil termasuk daripada pihak berkepentingan dan penggiat utama industri tenaga ASEAN serta rakan dialog antarabangsa.
AEBF 2025 turut diadakan serentak dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan mesyuarat berkaitan dari 16 hingga 17 Oktober.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami